Saturday, 25 October 2014

Program Kembara Syawal Anjuran Bersama Unit Dakwah & Agama, Persatuan Pendidikan Islam serta PIBG SRAB Muar, Tahun 2014


Tarikh             : 8 dan 9 Ogos 2014 bersamaan 12 dan 13 Syawal 1435H
 Hari / Masa   : Jumaat & Sabtu / 7.30 am – 6.30 pm
Tempat           : Berkumpul di Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SABK) Daerah Muar

Objektif                   
1. Melaksanakan pogram yang telah dirancang dalam takwim Unit Dakwah dan Agama,  PIBG dan Persatuan Pendidikan Islam sekolah.
2. Mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ibu bapa, kakitangan, serta warga guru di sekolah SRAB dengan tuan rumah.
3. Menceriakan lagi suasana pada bulan Syawal dengan kunjung - mengunjung antara warga SRAB, ahli  AJK PIBG dan ibu bapa. 
4. Melatih generasi baru mengekalkan tradisi bermarhaban terutamanya kepada anak-anak Johor. 
5. Menggalakkan sikap kunjung berkunjungan sesama Islam sebagaimana yang digalakkan oleh agama Islam. 
6. Menambah tabung Dana Wakaf Sekolah.






Program Qiamulail Anjuran Bersama Unit Dakwah & Agama, Persatuan Pendidikan Islam serta PIBG SRAB Muar, Tahun 2014


Tarikh                   : 17 dan 18 Julai 2014 bersamaan 19 dan 20 Ramadhan 1435H
Hari / Masa          : Khamis / 6.30 pm - Jumaat / 10.00 am 
Tempat                  : Dewan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SABK) Daerah Muar

Objektif                   
1. Membentuk peribadi pelajar melalui amalan ibadah yang betul dan tepat mengikut kehendak 
syarak dan mewujudkan rasa kehambaan di kalangan pelajar serta sentiasa mencari keredhaan dan
keampunan Allah.
2. Menyedarkan pelajar tentang kepentingan Solat dan Ibadah serta memupuk disiplin yang mantap.
3.  Menyemai keimanan, keyakinan diri dan berfikiran positif apabila    menghadapi kekangan dan dugaan dalam kehidupan. 
4. Melatih para peserta agar bertanggungjawab, bersabar, dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.






Program Gotong - Royong Anjuran PIBG & Kelab Keceriaan SRAB MUAR, Tahun 2014

Tarikh             : 27 Mei 2014 bersamaan 27 Rejab 1435 
Hari / Masa    : Selasa / 8.00 am – 12.30 pm    
Tempat           : Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SABK) Daerah Muar

Objektif              
1. Melaksanakan pogram yang telah dirancang dalam takwim PIBG dan kelab  keceriaan sekolah.
2. Mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ibu bapa, kakitangan, ahli komuniti dan warga guru  di sekolah SRAB. 
3. Menceriakan lagi suasana persekitaran sekolah.
4. Mewujudkan suasana pengajaran & pembelajaran yang kondusif dan selamat.





Sejarah Penubuhan Sekolah



SEKOLAH RENDAH AGAMA BERSEPADU DAERAH MUAR

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kerajaan Johor mula diperkenalkan di Negeri Johor hasil dari keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Johor, Ringkasan Mersyuarat (RM) Bil. 2226/98.
Justeru, pada 4 Januari 1999, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kerajaan Johor telah memulakan sesi persekolahannya yang pertama di lapan buah sekolah di seluruh negeri Johor dengan sebuah sekolah di setiap daerah. Daerah-daerah tersebut ialah Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Johor Bahru, dan Pontian.
Murid-murid SRAB Kerajaan Negeri Johor adalah terdiri daripada lepasan tadika-tadika di seluruh daerah. Syarat dan kelayakkan untuk belajar di SRAB ialah dengan menduduki ujian penilaian secara lisan dan bertulis ketika murid berada di tadika dan berusia 6 tahun.Ujian ini dijalankan pada akhir bulan Julai setiap tahun. Pemilihan murid dijalankan dengan mengambil kira keputusan ujian yang tertinggi iaitu 80 orang murid yang memperolehi markah terbaik akan dipilih serta diterima untuk belajar di SRAB,.
Kerajaan Negeri Johor telah melakar sejarah apabila telah berjaya melaksanakan sistem pendidikan satu sesi bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Sistem pembelajarannya adalah bersepadu antara pendidikan akademik dan pendidikan agama. Sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diambil sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, manakala sukatan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) diambil daripada Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor.
Di samping itu, SRAB Kerajaan Negeri Johor tidak terkecuali untuk melaksanakan aktiviti Ko-kurikulum sebagaimana yang telah dijalankan di sekolah-sekolah kebangsaan Kementerian Pendidikan sama ada dari segi sukatan dan pelaksanaannya.Pihak sekolah juga telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah dalam melaksanakan aktiviti yang dianjurkan oleh pihaknya. Begitu juga, SRAB Daerah tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Agama Daerah Muar.


SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SRAB, MUAR

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Daerah Muar terletak di Sungai Abong, lebih kurang 6 km dari Bandar Muar. Bangunannya terletak bersebelahan Sekolah Agama Sungai Abong dan Pejabat Pendidikan Agama Daerah Muar. Kedudukannya juga berhampiran dengan Masjid Jamek Sungai Abong, Sekolah Menengah Teknik Muar, dan Jabatan Pengangkutan Jalan Muar.
Pada awal penubuhannya, pada tahun 1999, SRAB Muar mempunyai 80 orang murid Tahun Satu  yang melibatkan 2 buah kelas, 6 orang tenaga pengajar termasuk Guru Besar, dan seorang Pembantu Tadbir. Setiap tahun berlaku penambahan kuota murid sebanyak 80 orang untuk 2 buah kelas dan 5 orang tenaga pengajar. Sehingga tahun 2006, jumlah keseluruhan murid adalah seramai 451 orang melibatkan 12 buah kelas (Tahun 1- 6) dan 30 orang tenaga pengajar.
Selama tiga tahun (1999-2001) pentadbiran dan persekolahan,  SRAB Muar telah menumpang di bangunan Sekolah Agama Sungai Abong sehingga akhir tahun 2001. Berbagai-bagai dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi oleh seluruh warga SRAB dalam membangunkan institusi pendidikan secara bersepadu ini. Namun, keyakinan dan sokongan padu daripada semua pihak, maka, SRAB dapat terus bertahan sehingga ke hari ini.
Pada peringkat awal, pembinaan bangunan SRAB Muar dicadangkan akan dibina di Parit Keroma Muar. Walau bagaimanapun implikasi dari komitmen dan keperihatinan semua pihak, khususnya Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor, kini SRAB Muar telah memiliki bangunan sendiri yang pada asalnya bangunan tersebut adalah bangunan tambahan hak milik Sekolah Agama Sungai Abong. Bangunan ini telah diserahkan secara  rasmi oleh Kerajaan Negeri Johor  kepada pentadbiran SRAB Muar pada akhir tahun 2001. Oleh yang demikian, SRAB Muar telah berpindah ke bangunan baru dan memulakan pentadbiran di bangunan sendiri pada awal tahun 2002.
Bermula dari tahun 2002 sehinggalah sekarang, SRAB Muar mengorak langkah ke hadapan dengan lebih cemerlang apabila dapat melaksanakan segala urusan pentadbiran, sesi pengajaran dan pembelajaran di bangunan sendiri.
Dalam sejarah pentadbiran, SRAB Muar pernah ditadbir oleh 3 orang Guru Besar, iaitu En. Kassim bin Ibrahim (Januari-Mei1999), En.Mohd. Hapip bin Othman (Jun-Disember1999), dan En. Sairozi bin Subahir (2000-sekarang). Selain daripada itu, tenaga pengajar juga silih berganti. Sehingga hari ini,  jumlah tenaga pengajar yang pernah berkhidmat di SRAB Muar adalah seramai 47 orang.
Sekiranya mengikut kuota murid, jumlah keseluruhan murid sehingga Tahun 6 ialah seramai 480 orang, namun, oleh sebab berlaku perpindahan dan keluar masuk murid, maka jumlah  keseluruhan murid  sehingga hari ini adalah seramai 454 orang sahaja.   
Bermula pada 14 Ogos 2012, Kerajaan Negeri Johor telah menandatangani MOU dengan Kementerian Pelajaran Malaysia yang turut membabitkan semua SRAB dalam negeri Johor untuk diserapkan ke dalam program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Kini SRAB Muar dikenali sebagai sebagai Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SABK).
Sehubungan itu, pada tahun 2013, KPM telah menghantar 2 orang guru yang terdiri daripada seorang guru J-Qaf dan seorang guru Akademik DGA 41.
Pada tahun 2014, SRAB Muar mempunyai seramai 33 orang kaki tangan. Mereka terdiri daripada Guru besar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, 26 orang Guru Penolong dan seorang Pembantu Tadbir. Sekolah ini turut disediakan dengan 4 orang pekerja pembersihan.
Tenaga-tenaga pengajar SRAB Muar adalah terdiri daripada 9 orang pegawai lelaki dan 23 orang pegawai perempuan.  Mereka adalah Pegawai-pegawai Pendidikan Lepasan Diploma Pendidikan dari Maktab-maktab Perguruan dan Kolej Islam Johor. Daripada jumlah 32 orang pegawai-pegawai tersebut, terdapat 29 orang pegawai bergred DGA 29 (Tetap dan Berpencen), seorang pegawai bergred DGA 41, dan 2 orang pegawai bergred DB17 (Kontrak).
 Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara, serta galakan dari pihak Jabatan Pendidikan Agama Johor bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan para pegawainya, maka kini terdapat seorang tenaga pengajar di sekolah ini sedang mengikuti program Sarjana di UTM Skudai Johor, manakala lapan orang lagi sedang mengikuti program Sarjana Muda,  masing-masing tiga orang di UTM Skudai Johor, dua orang di OPEN Universiti dan tiga orang di Universiti Kebangsaan Malaysia.


SRAB MUAR KE MERCU KEJAYAAN

Pada tahun 2004, untuk julung-julung kalinya murid-murid SRAB Muar telah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA). Kedua-dua peperiksaan ini telah menguji kemampuan murid dan guru-guru dalam menghadapi cabaran pendidikan bersepadu yang menuntut banyak komitmen untuk berdaya saing dengan sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.

Pencapaian UPSR
Dalam pencapaian UPSR 2004, murid-murid SRAB Muar telah berjaya mencapai keputusan cemerlang iaitu 8 orang murid daripada 64 bilangan calon mendapat 5A, 14 orang  mendapat 4A, dan 10 orang murid mendapat 3A, dengan kedudukan Gred Purata Sekolah 1.65, dan peratus keseluruhannya ialah 93.8%, manakala pada tahun 2005 seramai 16 orang murid daripada 69 orang calon mendapat 5A, 20 orang murid mendapat 4A, dan 10 orang murid mendapat 3A dengan Gred Purata Sekolah 1.52, dan peratusan keseluruhannya ialah 92.8%. Pencapaian UPSR 2006 adalah suatu pencapaian yang amat memberangsangkan dan membanggakan warga SRAB meskipun hanya 10 orang murid  daripada 73 orang calon mendapat 5A, 18 orang murid mendapat 4A dan 22 orang murid mendapat 3A, namun pencapaian Gred Purata Sekolah adalah meningkat kepada 1.51 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.6%. Sejarah pencapaian cemerlang berulang sekali lagi pada tahun 2007 di mana keputusan UPSR amat membanggakan semua pihak. SRAB Muar diumumkan mendapat tempat terbaik diantara SRAB seluruh negeri. Daripada 76 orang calon, 17 orang murid mendapat 5A, 21 orang murid  mendapat 4A, dan 15 orang murid mendapat  3A dengan pencapaian Gred Purata Sekolah meningkat kepada 1.43 dan peratusan keseluruhannya ialah 97.4%.

Pencapaian SDEA
Dalam pencapaian SDEA 2004 pula, seramai 59 orang murid daripada 64 orang calon telah lulus dengan pencapaian cemerlang iaitu 22 orang, manakala tahap kepujian iaitu 37 orang, dan peratusan keseluruhannya ialah 92.2%, manakala pada tahun 2005, seramai 67   orang murid daripada 69 orang calon telah lulus dengan  hanya tiga orang sahaja mendapat keputusan terbaik 5A dan 5 orang murid mendapat 4A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.67 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.55%. dan seterusnya melayakkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Johor. Sebagaimana meningkatnya peratusan UPSR 2006 begitulah juga dengan peningkatan  peratusan SDEA 2006 yang mencapai tahap yang membanggakan. Seramai 72 orang murid daripada 73 orang calon telah lulus dengan pencapaian seorang murid mendapat 9A,2 orang murid mendapat 8A, seorang murid mendapat 7A, 4 orang murid mendapat 6A, dan 7 orang murid mendapat 5A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.02 dan peratusan keseluruhannya cemerlang iaitu 98.63%.
Pencapaian cemerlang ini berterusan sehingga tahun 2007, di mana 75 orang murid daripada 76 orang calon telah lulus dan berjaya mengekalkan kecemerlangan dengan pencapaian seorang murid mendapat 7A,2 orang murid mendapat 6A, 6 orang murid mendapat 5A, dan 6 ornag murid mendapat 4A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.02 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.68%.
Kejayaan cemerlang ini amat membanggakan pihak ibu bapa, guru-guru, dan sekolah kerana murid-murid SRAB Muar telah mengharumkan nama sekolah, masyarakat,  dan jabatan di arena pendidikan global.
Kejayaan murid-murid SRAB Muar bukan sahaja di dalam arena pendidikan sahaja bahkan di dalam pendidikan ilmiah yang berteraskan ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Pembentukan sahsiah murid memerlukan keseimbangan dari segi intelek, rohani, dan jasmani yang berteraskan  perkembangan akidah yang mantap dan menjamin kepimpinan khalifah di atas muka bumi ini.
Justeru itu, untuk merealisasikan Dasar Pendidikan Agama Negeri bersama Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia, maka diwujudkan bidang  kurikulum dan ko-kurikulum untuk mencapai tahap tersebut.


Pelbagai kegiatan ko-kurikulum telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan sepanjang tahun mengikut kesesuaian waktu dan masa yang diperlukan  untuk tujuan di atas berdasarkan kerangka kerja yang telah diprogramkan. Di antaranya ialah Temasya sukan Tahunan Sekolah, Kejohanan Sukan MSSD, Pertandingan Catur, Perlawanan  Bola Sepak, Tenis, dan Bola Jaring Anjuran PPD, Perkhemahan Unit Beruniform, Kem-kem Motivasi dan Kem Ibadah, Sambutan-sambutan Hari Keraian serta Tilawah al-Quran dan Pertandingan Ko-kurikulum Agama  Peringkat Zon, Daerah dan Negeri.
Dalam Perujian Tilawah al-Quran dan Pertandingan Ko-kurikulum Agama yang diadakan di Peringkat Saringan, Zon, Daerah dan Negeri, murid-murid sekolah ini kerap mencapai kejayaan demi kejayaan  yang amat  membanggakan  setiap tahun. Begitu juga dalam kejohanan-kejohanan sukan yang dipertandingkan, meskipun secara keseluruhan tidak mendapat tempat yang teratas, tetapi mereka tetap mempunyai semangat kesukanan yang tinggi untuk membawa pulang pingat untuk membuktikan bahawa mereka ini boleh bertanding dan bersaing dengan murid-murid di sekolah lain dalam bidang sukan.
Sepanjang perjalanan SRAB Muar ini, ianya telah menunjukkan era kemajuan yang boleh dicontohi oleh sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian keputusan kurikulum Tahun 6 iaitu UPSR dan SDEA dan kejayaan ko-kurikulum yang memberangsangkan dan telah dicapai oleh murid-murid di sekolah ini.
Mudah-mudahan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar akan lebih gemilang, cemerlang , dan terbilang dan menjadi contoh kepada sistem pendidikan di Negara ini. Inilah contoh terbaik yang dapat dibuktikan oleh Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor.


MURID SRAB MUAR CEMERLANG!
GURU SRAB MUAR GEMILANG!
SRAB MUAR TERBILANG !


Takwim PIBG 2014



TAKWIM PERSATUAN IBU BAPA & GURU  
SEKOLAH RENDAH AGAMA BERSEPADU (SRAB) MUAR
SESI 2014/2015

BIL
AKTIVITI
TEMPOH
TINDAKAN

1.

Penjualan Kalender 2014


Januari

AJK & Guru

2.

Tuisyen PIBG Tahun 5 dan 6

Januari-Oktober

Pn. Zainah


3.

Program Gotong-Royong

Mac-Mei

AJK, Ibu Bapa & Guru


4.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajaran 2013 & Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-15


Mac

AJK, Ibu Bapa & Guru


5.

Temasya Sukan Tahunan Sekolah


Jun

AJK, Ibu Bapa & Guru

6.

Jaringan-Benchmarking (Lawatan penanda Aras)


Jun

AJK, Ibu Bapa & Guru

7.

Hari Terbuka Sekolah

Jun


AJK, Ibu Bapa & Guru

8.

Ujian Kelayakan Pelajar Baru 2015

Julai

AJK, Ibu Bapa & Guru


9.

Program Qiamulail

Julai

AJK, Ibu Bapa & Guru


10.

Program Lawatan @ Mahaban

Ogos


AJK, Ibu Bapa & Guru

11.

Program Solat Hajat dan Mohon Restu UPSR 2014

September

AJK, Ibu Bapa & Guru

12.

Program Penghayatan Korban


Oktober

AJK & Guru

13.

Hari Usahawan Muda

November

AJK, Ibu Bapa & Guru