Sekolah Rendah Agama
Bersepadu Kerajaan Johor mula diperkenalkan di Negeri Johor hasil dari
keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Johor, Ringkasan Mersyuarat (RM)
Bil. 2226/98.
Justeru, pada 4 Januari
1999, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kerajaan Johor telah memulakan sesi
persekolahannya yang pertama di lapan buah sekolah di seluruh negeri Johor
dengan sebuah sekolah di setiap daerah. Daerah-daerah tersebut ialah Muar, Segamat,
Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Johor Bahru, dan Pontian.
Murid-murid SRAB Kerajaan
Negeri Johor adalah terdiri daripada lepasan tadika-tadika di seluruh daerah.
Syarat dan kelayakkan untuk belajar di SRAB ialah dengan menduduki ujian penilaian
secara lisan dan bertulis ketika murid berada di tadika dan berusia 6
tahun.Ujian ini dijalankan pada akhir bulan Julai setiap tahun. Pemilihan murid
dijalankan dengan mengambil kira keputusan ujian yang tertinggi iaitu 80 orang
murid yang memperolehi markah terbaik akan dipilih serta diterima untuk belajar
di SRAB,.
Kerajaan Negeri Johor telah
melakar sejarah apabila telah berjaya melaksanakan sistem pendidikan satu sesi
bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Sistem pembelajarannya adalah
bersepadu antara pendidikan akademik dan pendidikan agama. Sukatan pelajaran
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diambil sepenuhnya daripada Kementerian
Pelajaran Malaysia, manakala sukatan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA)
diambil daripada Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor.
Di samping itu, SRAB
Kerajaan Negeri Johor tidak terkecuali untuk melaksanakan aktiviti Ko-kurikulum
sebagaimana yang telah dijalankan di sekolah-sekolah kebangsaan Kementerian
Pendidikan sama ada dari segi sukatan dan pelaksanaannya.Pihak sekolah juga
telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah dalam melaksanakan aktiviti
yang dianjurkan oleh pihaknya. Begitu juga, SRAB Daerah tidak pernah
ketinggalan dalam mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan
Agama Daerah Muar.
Sekolah Rendah Agama
Bersepadu Daerah Muar terletak di Sungai Abong, lebih kurang 6 km dari Bandar
Muar. Bangunannya terletak bersebelahan Sekolah Agama Sungai Abong dan Pejabat
Pendidikan Agama Daerah Muar. Kedudukannya juga berhampiran dengan Masjid Jamek
Sungai Abong, Sekolah Menengah Teknik Muar, dan Jabatan Pengangkutan Jalan
Muar.
Pada awal penubuhannya,
pada tahun 1999, SRAB Muar mempunyai 80 orang murid Tahun Satu yang melibatkan 2 buah kelas, 6 orang tenaga
pengajar termasuk Guru Besar, dan seorang Pembantu Tadbir. Setiap tahun berlaku
penambahan kuota murid sebanyak 80 orang untuk 2 buah kelas dan 5 orang tenaga
pengajar. Sehingga tahun 2006, jumlah keseluruhan murid adalah seramai 451
orang melibatkan 12 buah kelas (Tahun 1- 6) dan 30 orang tenaga pengajar.
Selama tiga tahun
(1999-2001) pentadbiran dan persekolahan,
SRAB Muar telah menumpang di bangunan Sekolah Agama Sungai Abong
sehingga akhir tahun 2001. Berbagai-bagai dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi
oleh seluruh warga SRAB dalam membangunkan institusi pendidikan secara
bersepadu ini. Namun, keyakinan dan sokongan padu daripada semua pihak, maka,
SRAB dapat terus bertahan sehingga ke hari ini.
Pada peringkat awal,
pembinaan bangunan SRAB Muar dicadangkan akan dibina di Parit Keroma Muar.
Walau bagaimanapun implikasi dari komitmen dan keperihatinan semua pihak,
khususnya Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor, kini SRAB Muar telah
memiliki bangunan sendiri yang pada asalnya bangunan tersebut adalah bangunan
tambahan hak milik Sekolah Agama Sungai Abong. Bangunan ini telah diserahkan
secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Johor kepada pentadbiran SRAB Muar pada akhir tahun
2001. Oleh yang demikian, SRAB Muar telah berpindah ke bangunan baru dan
memulakan pentadbiran di bangunan sendiri pada awal tahun 2002.
Bermula dari tahun 2002
sehinggalah sekarang, SRAB Muar mengorak langkah ke hadapan dengan lebih
cemerlang apabila dapat melaksanakan segala urusan pentadbiran, sesi pengajaran
dan pembelajaran di bangunan sendiri.
Dalam sejarah pentadbiran,
SRAB Muar pernah ditadbir oleh 3 orang Guru Besar, iaitu En. Kassim bin Ibrahim
(Januari-Mei1999), En.Mohd. Hapip bin Othman (Jun-Disember1999), dan En.
Sairozi bin Subahir (2000-sekarang). Selain daripada itu, tenaga pengajar juga
silih berganti. Sehingga hari ini,
jumlah tenaga pengajar yang pernah berkhidmat di SRAB Muar adalah seramai
47 orang.
Sekiranya mengikut kuota
murid, jumlah keseluruhan murid sehingga Tahun 6 ialah seramai 480 orang,
namun, oleh sebab berlaku perpindahan dan keluar masuk murid, maka jumlah keseluruhan murid sehingga hari ini adalah seramai 454 orang
sahaja.
Bermula pada 14 Ogos 2012,
Kerajaan Negeri Johor telah menandatangani MOU dengan Kementerian Pelajaran
Malaysia yang turut membabitkan semua SRAB dalam negeri Johor untuk diserapkan
ke dalam program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Kini SRAB Muar dikenali
sebagai sebagai Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SABK).
Sehubungan itu, pada tahun
2013, KPM telah menghantar 2 orang guru yang terdiri daripada seorang guru
J-Qaf dan seorang guru Akademik DGA 41.
Pada tahun 2014, SRAB Muar
mempunyai seramai 33 orang kaki tangan. Mereka terdiri daripada Guru besar,
Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru
Penolong Kanan Ko-Kurikulum, 26 orang Guru Penolong dan seorang Pembantu
Tadbir. Sekolah ini turut disediakan dengan 4 orang pekerja pembersihan.
Tenaga-tenaga pengajar SRAB
Muar adalah terdiri daripada 9 orang pegawai lelaki dan 23 orang pegawai
perempuan. Mereka adalah Pegawai-pegawai
Pendidikan Lepasan Diploma Pendidikan dari Maktab-maktab Perguruan dan Kolej
Islam Johor. Daripada jumlah 32 orang pegawai-pegawai tersebut, terdapat 29
orang pegawai bergred DGA 29 (Tetap dan Berpencen), seorang pegawai bergred DGA
41, dan 2 orang pegawai bergred DB17 (Kontrak).
Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan
Negara untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara, serta galakan dari pihak Jabatan Pendidikan Agama Johor
bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan para pegawainya, maka kini
terdapat seorang tenaga pengajar di sekolah ini sedang mengikuti program
Sarjana di UTM Skudai Johor, manakala lapan orang lagi sedang mengikuti program
Sarjana Muda, masing-masing tiga orang
di UTM Skudai Johor, dua orang di OPEN Universiti dan tiga orang di Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Pada tahun 2004, untuk
julung-julung kalinya murid-murid SRAB Muar telah menduduki Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA). Kedua-dua peperiksaan
ini telah menguji kemampuan murid dan guru-guru dalam menghadapi cabaran
pendidikan bersepadu yang menuntut banyak komitmen untuk berdaya saing dengan
sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.
Pencapaian UPSR
Dalam pencapaian UPSR 2004,
murid-murid SRAB Muar telah berjaya mencapai keputusan cemerlang iaitu 8 orang
murid daripada 64 bilangan calon mendapat 5A, 14 orang mendapat 4A, dan 10 orang murid mendapat 3A,
dengan kedudukan Gred Purata Sekolah 1.65, dan peratus keseluruhannya ialah
93.8%, manakala pada tahun 2005 seramai 16 orang murid daripada 69 orang calon
mendapat 5A, 20 orang murid mendapat 4A, dan 10 orang murid mendapat 3A dengan
Gred Purata Sekolah 1.52, dan peratusan keseluruhannya ialah 92.8%. Pencapaian
UPSR 2006 adalah suatu pencapaian yang amat memberangsangkan dan membanggakan
warga SRAB meskipun hanya 10 orang murid
daripada 73 orang calon mendapat 5A, 18 orang murid mendapat 4A dan 22
orang murid mendapat 3A, namun pencapaian Gred Purata Sekolah adalah meningkat
kepada 1.51 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.6%. Sejarah pencapaian
cemerlang berulang sekali lagi pada tahun 2007 di mana keputusan UPSR amat
membanggakan semua pihak. SRAB Muar diumumkan mendapat tempat terbaik diantara
SRAB seluruh negeri. Daripada 76 orang calon, 17 orang murid mendapat 5A, 21
orang murid mendapat 4A, dan 15 orang
murid mendapat 3A dengan pencapaian Gred
Purata Sekolah meningkat kepada 1.43 dan peratusan keseluruhannya ialah 97.4%.
Pencapaian SDEA
Dalam pencapaian SDEA 2004
pula, seramai 59 orang murid daripada 64 orang calon telah lulus dengan
pencapaian cemerlang iaitu 22 orang, manakala tahap kepujian iaitu 37 orang,
dan peratusan keseluruhannya ialah 92.2%, manakala pada tahun 2005, seramai 67 orang murid daripada 69 orang calon telah
lulus dengan hanya tiga orang sahaja
mendapat keputusan terbaik 5A dan 5 orang murid mendapat 4A. Pencapaian Gred
Purata Sekolah ialah 2.67 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.55%. dan
seterusnya melayakkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Darjah Khas Sekolah
Agama Kerajaan Johor. Sebagaimana meningkatnya peratusan UPSR 2006 begitulah
juga dengan peningkatan peratusan SDEA
2006 yang mencapai tahap yang membanggakan. Seramai 72 orang murid daripada 73
orang calon telah lulus dengan pencapaian seorang murid mendapat 9A,2 orang
murid mendapat 8A, seorang murid mendapat 7A, 4 orang murid mendapat 6A, dan 7
orang murid mendapat 5A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.02 dan
peratusan keseluruhannya cemerlang iaitu 98.63%.
Pencapaian cemerlang ini
berterusan sehingga tahun 2007, di mana 75 orang murid daripada 76 orang calon
telah lulus dan berjaya mengekalkan kecemerlangan dengan pencapaian seorang
murid mendapat 7A,2 orang murid mendapat 6A, 6 orang murid mendapat 5A, dan 6
ornag murid mendapat 4A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.02 dan
peratusan keseluruhannya ialah 98.68%.
Kejayaan cemerlang ini amat
membanggakan pihak ibu bapa, guru-guru, dan sekolah kerana murid-murid SRAB
Muar telah mengharumkan nama sekolah, masyarakat, dan jabatan di arena pendidikan global.
Kejayaan murid-murid SRAB
Muar bukan sahaja di dalam arena pendidikan sahaja bahkan di dalam pendidikan
ilmiah yang berteraskan ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Pembentukan sahsiah murid
memerlukan keseimbangan dari segi intelek, rohani, dan jasmani yang
berteraskan perkembangan akidah yang
mantap dan menjamin kepimpinan khalifah di atas muka bumi ini.
Justeru itu, untuk
merealisasikan Dasar Pendidikan Agama Negeri bersama Dasar Pendidikan
Kebangsaan Malaysia, maka diwujudkan bidang
kurikulum dan ko-kurikulum untuk mencapai tahap tersebut.
Pelbagai kegiatan
ko-kurikulum telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan sepanjang tahun mengikut
kesesuaian waktu dan masa yang diperlukan
untuk tujuan di atas berdasarkan kerangka kerja yang telah diprogramkan.
Di antaranya ialah Temasya sukan Tahunan Sekolah, Kejohanan Sukan MSSD,
Pertandingan Catur, Perlawanan Bola
Sepak, Tenis, dan Bola Jaring Anjuran PPD, Perkhemahan Unit Beruniform, Kem-kem
Motivasi dan Kem Ibadah, Sambutan-sambutan Hari Keraian serta Tilawah al-Quran
dan Pertandingan Ko-kurikulum Agama
Peringkat Zon, Daerah dan Negeri.
Dalam Perujian Tilawah
al-Quran dan Pertandingan Ko-kurikulum Agama yang diadakan di Peringkat
Saringan, Zon, Daerah dan Negeri, murid-murid sekolah ini kerap mencapai
kejayaan demi kejayaan yang amat membanggakan
setiap tahun. Begitu juga dalam kejohanan-kejohanan sukan yang
dipertandingkan, meskipun secara keseluruhan tidak mendapat tempat yang
teratas, tetapi mereka tetap mempunyai semangat kesukanan yang tinggi untuk
membawa pulang pingat untuk membuktikan bahawa mereka ini boleh bertanding dan
bersaing dengan murid-murid di sekolah lain dalam bidang sukan.
Sepanjang perjalanan SRAB
Muar ini, ianya telah menunjukkan era kemajuan yang boleh dicontohi oleh sekolah-sekolah
kebangsaan di negara ini dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Ini dapat
dibuktikan melalui pencapaian keputusan kurikulum Tahun 6 iaitu UPSR dan SDEA
dan kejayaan ko-kurikulum yang memberangsangkan dan telah dicapai oleh
murid-murid di sekolah ini.
Mudah-mudahan Sekolah
Rendah Agama Bersepadu Muar akan lebih gemilang, cemerlang , dan terbilang dan
menjadi contoh kepada sistem pendidikan di Negara ini. Inilah contoh terbaik
yang dapat dibuktikan oleh Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor.
MURID SRAB MUAR CEMERLANG!
GURU SRAB MUAR GEMILANG!
SRAB MUAR
TERBILANG !
No comments:
Post a Comment